Cadangan referendum rakyat Johor

Ini adalah inisiatif rakyat Johor yang kasihkan negeri dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Kepentingan negeri Johor mestilah mengatasi kepentingan peribadi dan fahaman politik

Ke arah pemerintahan dan kerajaan berdaulat Johor serta samada Johor perlu bebas atau kekal dalam persekutuan Malaysia

1. Ini adalah satu inisiatif awal untuk mendapatkan cadangan awal pungutan suara rakyat Johor berkenaan hubungan dengan persekutuan Malaysia.

2. Pada peringkat awal pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya pembentukan Malaysia, adalah dipersetujui oleh semua pihak bahawa negeri Johor akan kekal sebagai negeri yang berdaulat dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor memberi kuasa kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan hal-hal penting seperti kesucian agama Islam, kepentingan orang Melayu, hal ehwal berkaitan tanah, air dan beberapa perkara penting lagi.

3. Walaubagaimanapun, sejak mutakhir ini, berlaku serangan bertali arus terhadap kedaulatan negeri Johor terutama sindiran dan kecaman dari beberapa pihak yang menduduki pentadbiran persekutuan Malaysia serta individu-individu yang diketahui rapat dengan pemimpin tertentu di peringkat persekutuan.

4. Justeru itu, satu kajian berkenaan keperluan samada pungutan suara atau referendum perlu dibuat untuk mendapatkan pandangan rakyat Johor sendiri berkenaan samada negeri Johor perlu bebas atau kekal dalam persekutuan Malaysia.