Isu progrog atau penangguhan sidang Parlimen hangat dibincang sehari dua ini dengan istilah ‘darurat’ antara turut disebut-sebut dan menjadi spekulasi.
Apa sekalipun usaha kerajaan, diharap ia demi kebaikan negara dan rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam menjadi keutamaan.
Belalang percaya Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat Raja-Raja Melayu akan membuat pertimbangan yang terbaik dan penuh bijaksana.
Ayuh jaga sungai kita
Pencemaran sungai ibarat tiada kesudahan. Di mana lagi lompongnya apabila tindakan penguatkuasaan lebih serius disusuli hukuman lebih berat ke atas pelaku pun seperti tidak berkesan mengekang jenayah alam sekitar itu.
Belalang percaya, jalan terbaik adalah setiap daripada kita perlu menyumbang, pastikan dalam diri masing-masing tertanam rasa cinta dan sayangkan sungai, barulah sikap terhadap sumber air itu sentiasa dalam konteks lestari.
BH juga sudah menggerakkan kempen ‘Jaga Sungai Kita’ dengan sasaran menyuntik rasa tanggungjawab itu dalam masyarakat. Usaha ini harus disokong semua kerana jika bukan kita, siapa lagi nak diharapkan untuk jaga sungai.

Buat-buat tak tahu atau keliru
Diam tak diam sudah lapan bulan kita hidup dalam suasana sekatan pergerakan. Boleh dikatakan semua kini sudah tahu apa yang perlu dibuat dan apa perlu dielak untuk mengekang penularan COVID-19.
Namun, memasuki gelombang ketiga pandemik, banyak pula kekeliruan timbul. Belalang percaya pihak berkuasa sendiri perlu jelas dalam setiap pengumuman berkaitan COVID-19, khususnya prosedur berkaitan sekatan perjalanan untuk mengelak masyarakat tertanya-tanya.
Lihat sahaja di Lembah Klang, mereka di Zon Merah lagaknya seperti di Zon Hijau, bebas bergerak ke sana ke sini seperti tiada apa yang berlaku. Apakah ini kerana keliru atau sengaja buat-buat tak tahu?








