Korea Utara kejutkan dunia

SEOUL 21 April: Korea Utara mengumumkan tindakannya menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu serta me­nutup tapak ujian nuklear berkuatkuasa serta-merta.

Negara komunis itu, sebaliknya akan menumpukan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan keamanan, kata pemimpinnya, Kim Jong-un.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat selepas Korea Utara bersedia untuk mengadakan pertemuan bersejarah dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, Jong-un berkata, ujian nuklear dan pe­luru berpandu balistik itu sudah tidak diperlukan kerana matlamat untuk memajukan senjata itu berjaya dicapai.

Korea Utara berkata, untuk mewujudkan persekitaran antarabangsa yang menggalakkan bagi ekonominya, ia akan me­ngadakan hubungan rapat dan dialog secara aktif de­ngan negara-negara jiran dan masyarakat antarabangsa.

Jong-un dilaporkan akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Moon Jae-in minggu depan dalam sidang kemuncak antara Korea yang pertama dalam tempoh satu dekad, sebelum mengadakan pertemuan dengan Pre­siden AS, Donald Trump menjelang Jun ini.

Pengakuan untuk mem­­bekukan ujian dan komitmen menutup tapak ujian, bagaimanapun tidak menepati kemahuan Washingston yang mahukan perlucutan sepenuhnya dilakukan oleh Korea Utara.

Para pakar berkata, pengumuman yang dilakukan Jong-un lebih awal dan bukannya ketika sidang kemuncak me­nunjukkan pemimpin itu serius tentang perundingan untuk pelucutan senjata.

https://i0.wp.com/friendsofjohor.my/wp-content/uploads/2018/04/image-2.jpg?resize=640%2C425

“Tapak ujian dasar nuklear Korea Utara juga akan ditutup untuk memberi jaminan secara telus me­ngenai penggantungan ujian nuklear kami,” lapor KCNA selepas Jong­-un berucap pada sidang pleno Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja semalam.

Pyunggye-ri di Korea Utara merupakan satu-satunya tapak ujian nuklear yang diketahui dan kesemua enam ujian bawah tanah dilakukan di sana terma­suk yang terakhir dan terbesar pada September lalu.

Trump menyambut baik ke­nyataan Jong-un sambil berkata, beliau bersedia mengha­diri sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara itu.

Korea Selatan menyifatkan keputusan Jong-un menandakan kemajuan “bermakna” ke arah pelucutan senjata nuklear di semenanjung Korea dan akan mewujudkan keada­an yang baik untuk pertemuan mereka kelak.

Menurut Trump, keputusan dibuat Jong-Un itu adalah khabar baik untuk dunia dan dilihat sebagai satu perkemba­ngan yang amat penting.

“Ini adalah berita yang sa­ngat baik untuk Korea Utara dan dunia! Perkembangan besar! Tak sabar untuk menghadiri sidang kemuncak kami,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, China yang merupakan sekutu kuat Pyongyang berkata, langkah yang dibuat itu membantu menghapuskan kuasa nuklear di wi­layah bergolak itu.

“Pada masa yang sama ia membantu proses menghapuskan penggunaan kuasa nuklear dan ia adalah cubaan untuk mencari penyelesaian politik,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe turut menyambut baik keputusan tersebut tetapi menegaskan ia harus disusuli de­ngan tindakan.

“Apa yang penting, keputusan ini membawa kepada penolakan senjata nuklear dan pengesahan sepenuhnya. Saya amat menekankan perkara ini,” kata Abe kepada pembe­rita.

Kesatuan Eropah menyifatkan tindakan itu sebagai langkah positif, tetapi mahukan perlucutan dilakukan secara sepenuhnya.– AFP/REUTERS