Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas di bandar raya ini diarah tutup selama seminggu mulai hari ini sehingga 31 Okt, susulan kes terbaharu COVID-19 di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata penutupan kedua-dua sekolah berkenaan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebuah sekolah ditutup berikutan seorang murid darjah khas disyaki terkena jangkitan daripada ibunya yang positif COVID-19. Murid berkenaan telah menjalani ujian swab dan sedang menunggu keputusan ujian manakala sebuah lagi sekolah disaran tutup oleh KKM,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau berkata penutupan Sekolah Agama Taman Cempaka membabitkan seramai 1,072 murid dan 17 guru manakala Sekolah Agama Kempas membabitkan 1,790 murid dan 26 guru.
— BERNAMA








