BERSATU Johor, UMNO baik-baik saja

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor menafikan wujud pergolakan antara parti berkenaan dengan UMNO Johor seperti yang digembar-gemburkan kebelakangan ini.

Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata apa juga khabar angin serta provokasi yang timbul adalah asam garam dalam dunia politik.

“Kerajaan Johor masih berfungsi dengan baik di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dengan semua EXCO dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) memberikan sokongan kepada beliau.

“Kepimpinan kerajaan negeri juga sedang fokus terhadap isu rakyat terutama dalam memerangi wabak COVID-19, jadi apa juga berita hangat yang diperkatakan kebelakangan ini bagi saya lumrah dalam politik.

“Saya tidak nafikan ada pihak terguris hati membabitkan peranan dan hak kedua-dua parti, namun ia lebih bersifat peribadi bukan sehingga menjejaskan keseluruhan gabungan dan hubungan di dalam PN.

“Perbezaan pendapat juga adalah lumrah dalam mana-mana gabungan parti politik namun ia tidaklah sehingga menjejaskan kesepakatan yang sudah terjalin,” katanya selepas Program Info On Wheel Ramadan di Desa Mutiara, di Tebrau, dekat sini, hari ini.

Desas-desus pergolakan politik Johor membabitkan BERSATU dan UMNO hangat diperkatakan sejak bulan lalu sehingga ia dilaporkan beberapa portal.

Pada 27 April lalu, Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu kenyataan dilaporkan meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN supaya tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Solihan dilaporkan berkata, 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam DUN mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula dilaporkan mencadangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana parti itu tidak ada majoriti dalam DUN. Cadangan itu sekali gus menimbulkan polemik politik yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), BEBAS (satu) sementara AMANAH (9) dan PKR pula (empat).

,