PEKERJA dan orang ramai digesa melaporkan kepada polis sekiranya ada majikan yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan memaksa mereka terus bekerja.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Arahan Perintah Kawalan Pergerakan sudah jelas dan orang awam diminta tidak ragu-ragu berikutan sudah banyak penjelasan dan maklumat disiarkan media.
“Tidak sepatutnya timbul kekeliruan lagi kerana MKN sudah menjelaskan hanya perkhidmatan utama dan penting sahaja yang dibenarkan terus beroperasi dan dibuka seperti biasa.
“Jika ada syarikat atau perkhidmatan yang tidak dibenarkan dibuka namun masih beroperasi, orang ramai diminta tampil membuat laporan polis.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya kepada majikan ingkar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Dalam perutusannya itu, Muhyiddin dilaporkan berkata, tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak Covid-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.
Perintah Kawalan Pergerakan antara lain mengarahkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (essential services).








