Kerajaan negeri mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi dihadapi masyarakat sebagai langkah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata antara bantuan one-off yang akan diberikan termasuk sejumlah RM1,000 kepada semua pesakit yang positif COVID-19.
Katanya, laporan yang dikeluarkan oleh pejabat kesihatan Johor menyatakan, terdapat 88 pesakit positif COVID-19 dan sehingga jam 12 malam tadi, angka itu meningkat kepada 101 pesakit yang positif.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan one-off berjumlah RM20,000 kepada 56 wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Sebagai tanda takziah kerajaan negeri, sebanyak RM2,000 akan disampaikan kepada setiap waris mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19.
“Pada masa sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor akan mempertimbangkan bantuan segera bagi kategori asnaf yang terkesan dengan COVID-19,” katanya pada sidang media secara langsung di laman sosial Facebooknya (FB).
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah dan inisiatif dalam memastikan bahawa Jabatan Kesihatan Pejabat Penerangan akan terus memaklumkan kepada masyarakat berkenaan dengan perkembangan dan status COVID-19 dari semasa ke semasa.
“Selain daripada inisiatif meletakkan kebajikan masyarakat sebagai perkara yang kerajaan perlu berikan tumpuan, dari segi ekonomi dan sektor yang terjejas juga akan diberi perhatian.
“Kerajaan negeri akan memberi insentif pengecualian bayaran sewa premis kepada 10,371 peniaga bermula April hingga Disember 2020 iaitu antaranya peniaga yang menyewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasar awam.
“Sementara itu, peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di 151 premis milik kerajaan negeri yang diuruskan contohnya Perbadanan Usahawan Negeri Johor juga akan diberi kelonggaran dan insentif yang sepatutnya katanya.
Beliau berkata, bagi kakitangan kerajaan negeri yang berstatus pekerja sambilan harian gaji mereka akan dikira sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Ini antara inisiatif yang akan disegerakan oleh kerajaan negeri, langkah seterusnya akan diberi perhatian termasuklah segala bentuk bantuan akan kerajaan negeri usahakan,” katanya.








