Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, difahamkan sudah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pagi semalam, bagi memaklumkan keadaan politik di negeri itu.
Menurut sumber, Dr Sahruddin menghadap Sultan Ibrahim pada pagi semalam, bagaimanapun lokasi pertemuan tidak didedahkan.
Sehingga pagi ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Dr Sahruddin berhubung status kerajaan yang ditadbirnya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang, berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) untuk menubuhkan kerajaan baharu di Johor.
“Tiada sebarang perbincangan, BERSATU Johor tidak pernah diajak berbincang untuk sebarang kerjasama bagi menubuhkan kerjasama kerajaan baharu di Johor.
“Saya dan dua, tiga orang lagi sahabat saya (Wakil Rakyat) dalam BERSATU memang tidak ada menandatangani sebarang SD, tidak tahu pula rakan yang lain,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini. – bh
Featured Image: Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Johor ke-17. Foto: Johor Royal Press Office








