Harga runcit petrol RON95 turun empat sen kepada RM2.04 seliter; manakala RON97 turun tujuh sen kepada RM2.34 dan diesel turun 10 sen kepada RM2.08, mulai tengah malam ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penurunan harga runcit itu susulan penurunan harga minyak global.
Beliau berkata, harga runcit produk petrol itu adalah bagi tempoh 8 hingga 14 Februari ini.
Katanya, kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.
”Sebanyak RM6 bilion subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) dibiayai kerajaan tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Guan Eng berkata, penurunan harga petrol itu juga berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).
Menurut beliau, penurunan harga runcit minyak itu adalah penurunan terbesar dari minggu lalu, apabila penurunan harga petroleum di pasaran dunia membolehkan harga runcit produk itu turun.








