Terdapat dua senario pembentukan kerajaan negeri baharu di negeri ini dalam masa terdekat, berdasarkan keyakinan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan mampu meraih sokongan majoriti daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Penganalisis politik, Dr Md Akbal Abdullah, berkata BN tidak akan melaungkan keyakinan itu jika tidak mempunyai jaminan tertentu.
Dr Md Akbal yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, senario pertama yang mungkin bakal berlaku di negeri ini dalam masa terdekat, adalah pembentukan kerajaan negeri baharu yang boleh disebut sebagai kerajaan peralihan dalam masa terdekat.
“Kerajaan peralihan ini ditubuhkan selepas mendapat perkenaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda berpuas hati dengan bukti majoriti mencukupi yang didakwa diperoleh BN.
“Kerajaan peralihan itu kemudian akan menunggu perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan yang dipercayai akan muncul dengan gabungan blok politik baharu dengan kerajaan Johor yang baharu menyertai pakatan baharu berkenaan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Daripada 56 agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini, 14 masing-masing UMNO dan DAP, BERSATU (11), AMANAH (sembilan), PKR (lima), MIC (dua) dan PAS (satu).
Ketika ini, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan AMANAH.
Sementara itu, Dr Akbal berkata, senario kedua pula apabila kerajaan negeri baharu ditubuhkan dalam masa terdekat diikuti dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Ia adalah antara senario menarik untuk diperhatikan jika penubuhan kerajaan negeri baharu diikuti dengan PRN jika ia jalan yang dipilih kerajaan baharu itu nanti.
“Bagaimanapun, PRN hanya akan diadakan apabila Menteri Besar baharu memohon perkenan Sultan Johor, dan ia diperkenankan baginda.
“Langkah ini mungkin dilihat kerajaan baharu jika mereka merasakan akan berdepan masalah seperti Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan baharu nanti melihatkan situasi sebelum ini di mana gabungan sukar membuat keputusan penting apabila terdapat parti politik cuba menjadi dominan,” katanya.
Sementara itu, 16 ADUN BN berkumpul Pejabat UMNO Johor, di Jalan Yahya Awal, di sini, mengadakan mesyuarat tergempar bersama Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, sejak jam 4 petang tadi.








