Proton Perdana kekal kenderaan rasmi Menteri

Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan terus menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengesahkan kontrak baharu itu akan diumumkan kelak selepas dimuktamadkan jawatankuasa tender kementerian berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan mewah yang dilaporkan media akan digunakan anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan sebelum ini sebenarnya hanyalah pilihan kedua selepas pihaknya dimaklumkan Proton Perdana untuk kegunaan rasmi itu tidak mencukupi oleh pembekal.

“Sebenarnya ia adalah pilihan. Kita mahu kekalkan Perdana tetapi kerana syarikat tidak keluarkan Perdana yang mencukupi bagi Menteri dan Timbalan Menteri, itu menjadi masalah.

“Itu sebab kita diberikan pilihan (kenderaan lain). Bagaimanapun sekarang, kita sudah dapat pengesahan bahawa kereta Perdana mencukupi dan sebab itu, kita akan kekal dengan Perdana,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Janji niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Pelantikan syarikat baharu itu berikutan kontrak Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebagai pengendali rangkaian kenderaan kerajaan tamat hujung tahun 2019.

,