Calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng yang menang pada Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat hari ini.
Wee Jeck Seng yang menang dalam PRK Tanjung Piai berikutan penyandangnya dari Parti BERSATU yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada 20 September lalu.
Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi Parlimen Tanjung Piai pada 16 November dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi. Jeck Seng memperoleh 25,466 undi.
Pesaing terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.
Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).
Wee pernah menyandang kerusi tersebut sebanyak dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).
Dengan kemenangan Wee, MCA kini mempunyai dua ahli parlimen di Dewan Rakyat. Seorang lagi ialah Presiden MCA, Wee Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Johor.
Terdahulu, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Wee dipilih sebagai ahli parlimen.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wee Jeck Seng kerana memenangi PRK Tanjung Piai pada Sabtu 16 Nov yang lalu.
“Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dengan bertujuan memberikan manfaat terbesar kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya yakin ahli yang berhormat akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat terhormat dengan seperti yang tertuntut keluhuran institusi ini. Semoga ahli dapat berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.








