Tindakan segelintir pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kerajaan yang didakwa tidak membantu memperkuatkan akar umbi dan jentera parti, antara punca calonnya gagal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata tindakan pemimpin seperti itu menyebabkan akar umbi kecewa, sekali gus melemahkan jentera parti.
“Kita amat sedih apabila kebajikan ahli dan jentera tidak diberi keutamaan sehingga ramai yang kecewa serta berasa teraniaya walaupun bersemangat tinggi membantu parti.
“Apabila akar umbi kecewa, parti akan menjadi lemah kerana jentera tidak dapat digerakkan ke tahap tertinggi untuk membantu calon berkempen.
“Apa guna mempunyai jawatan dalam kerajaan tetapi kita tidak membantu memperkuatkan parti.
“Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kepada jentera PRK Parlimen Tanjung Piai dari seluruh Johor dan negeri lain yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen,” katanya kepada BH, hari ini.
Kelmarin, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.
Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.
Pesaing terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.
Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).
Mengenai khabar angin ada gerakan mahukan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang juga Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Parlimen Tanjung Piai melepaskan jawatan dalam kerajaan berikutan kekalahan itu, Mazlan menyerahkan perkara itu kepada kepemimpinan tertinggi parti.
“Saya tiada komen mengenai perkara itu. Biarlah kepemimpinan tertinggi dan akar umbi BERSATU memberikan jawapannya,” katanya.








