Permaisuri Johor lawat keluarga Arwah Muhammad Daniel

DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga arwah Muhammad Shah Daniel bin Abd Rashid di Mersing hari ini (28 Ogos).

Permaisuri Johor tiba di Tanah Perkuburan Islam Mersing, Taman Sri Pantai pada jam 11 pagi turut menyiram air serta menabur bunga di kubur arwah Shah Daniel.

Baginda kemudian berangkat ke Masjid Taman Sri Bayu Mersing untuk bacaan Yassin dan Tahlil bersama ibu arwah, Nurul Shahira Mat Zaizait, 24, Keluarga serta penduduk setempat.

Shah Daniel, kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan yang mengidap kanser rhabdomyosarcoma yang menyebabkan ketumbuhan di muka meninggal dunia malam tadi di Wad Kanak-Kanak Hospital Mersing.

Keadaan Shah Daniel pada mulanya mendapat perhatian KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar.

Raja Permaisuri Agong kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Permaisuri Johor untuk melihat keadaan Shah Daniel.

Hasrat Permaisuri yang pada mulanya ingin melawat Shah Daniel di Hospital Mersing diteruskan untuk menzahirkan rasa sedih serta memberi sokongan moral kepada ibu serta keluarga arwah.

Permaisuri Johor pernah melihat keadaan arwah Shah Daniel di Mersing semasa Kembara Mahkota Johor Julai lalu. – The Royal Johor