Harimau yang menjadi simbol kepada Harimau Selatan dipilih sebagai maskot Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai tahun depan, maskot itu dinamakan Jimi.
Jimi diibaratkan sebagai seekor harimau berani dan garang dengan turut menampilkan ciri kesultanan zaman berzaman yang menjadi identiti negeri Johor.
Sementara itu, logo Sukma 2020 pula bercirikan tulisan Jawi melalui huruf ‘Jim’ yang mewakili negeri Johor yang turut digabungkan menjadi obor temasya dan menjadi kebanggaan Bangsa Johor yang masih memartabatkan tulisan Jawi.

Gambir dan lada hitam yang merupakan khazanah alam negeri ini turut diangkat sebagai sebahagian daripada obor temasya manakala slogan ‘Semarak Juara’ yang diletakkan diletakkan dalam logo pula merupakan laungan bagi menyahut cabaran memperkasakan semangat kesukanan serta kegemilangan sukan.
Majlis pelancaran maskot dan logo tersebut disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Ali, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma XX Johor 2020, On Jabar.
Dr. Sahruddin dalam ucapannya berkata, logo yang dicipta itu adalah hasil daripada pertandingan yang dilaksanakan tahun lalu, namun, penambahbaikan daripada segi imej dan pengisiannya dibuat bagi memudahkan logo itu dikomersialkan.

“Semestinya elemen Johor seperti motif gambir dan lada hitam dan pembudayaan jawi diterapkan dalam logo temasya yang amat dibanggakan ini.
“Negeri Johor dan harimau berpisah tiada. Maskot temasya sukan ini menampilkan harimau yang tampak comel dan mesra, namun, sebagaimana sifat seekor harimau, ianya agresif, garang dan akan mengaum dengan semangat ‘Semarak Juara’ bersukan,” katanya. – UTUSAN








