Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disaran terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai presiden parti.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, berkata langkah ini perlu susulan wujud gerakan daripada penyokongnya yang mahu membawa balik Ahmad Zahid dari bercuti dan mengambil semula tugas sebagai Presiden UMNO.
Katanya, tindakan Ahmad Zahid dan penyokong rapat beliau ini bukan sesuatu yang baik untuk UMNO bangkit serta bergerak ke depan.
“Perlu diingat antara punca desakan untuk Ahmad Zahid bercuti adalah disebabkan tiadanya hala tuju jelas ketika beliau menjadi Presiden UMNO sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian Ahli Parlimen dan ketua bahagian.
“UMNO juga dijangka akan terus lemah jika beliau tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maulizan berkata, UMNO sepatutnya terus diberi nafas baharu dan Ahmad Zahid bukanlah orangnya.
Susulan itu, beliau berkata, Ahmad Zahid perlu berhenti daripada tindakah ‘acah mengacah’ untuk kembali menerajui UMNO kerana ia tidak baik untuk parti.
“Kita doakan Ahmad Zahid mahupun (Datuk Seri) Najib (Razak) diberi peluang mendapat keadilan sewajarnya di atas segala pertuduhan yang mereka hadapi. Lepaskanlah UMNO kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi acah acah untuk kembali.
“Jika selesai kes dan beliau dibersihkan, tiada siapa boleh melarang beliau menawarkan diri bertanding apa juga jawatan dalam parti,” katanya.
Maulizan berkata, UMNO dilihat stabil dan mula mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat.
“Memang belum semua penyokong UMNO balik menyokong parti, sebaliknya masih ada golongan menganggap UMNO belum benar-benar berubah kerana masih mendokong pemimpin dituduh pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata, Ahmad Zahid memang dipilih secara demokrasi, tetapi apa yang berlaku selepas pemilihan tidak membolehkan beliau terus menjadi pemimpin UMNO yang berkesan.
- BH Online








