DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru hari ini (26 Mei).
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda yang juga Canselor UTM pada jam 5.30 petang diiringi Naib Canselor UTM, Datuk Dr. Wahid Omar serta wakil pelajar UTM.
Baginda turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 30 orang pelajar B40 sebelum mendengar ceramah ringkas disampaikan oleh Kadi Daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman.
DYMM Permaisuri Johor kemudian diiringi Datuk Dr. Wahid dan wakil pelajar UTM, Siti Nurul Wahida Sheikh Kamar, Nur Azlin Idayu Md Adam serta Muhammad Ikhmal Borhan untuk berbuka puasa bersama lebih 1, 000 orang warga UTM di masjid berkenaan.
Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum berangkat pulang. – The Royal Johor














