Kerajaan Johor menyeru agar lebih banyak wanita di negeri ini berdaftar di bawah program i-Suri, yang telah telah diperkenalkan semenjak tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata, program tersebut khusus untuk membantu para surirumah, ibu tunggal dan balu dalam bentuk tabungan kewangan bagi kegunaan masa depan mereka.
Kata Liow sambutan daripada wanita di seluruh Johor tidak begitu memberangsangkan semenjak program itu diperkenalkan pada Ogos 2018.
“Johor merupakan salah satu daripada negeri terendah pendaftaran i-Suri di Malaysia.
“Terdapat 97,814 orang yang berdaftar di bawah program i-Suri pada Mac tahun ini, namun hanya 3,238 dari Johor.
“Saya menyeru agensi dan jabatan untuk mempromosikan program dengan lebih meluas dan memastikan lebih ramai wanita yang layak mendapat manfaat,” kata Cai Tung.
Terdahulu The Star Online melaporkan beliau sebagai berkata, antara inisiatif yang diambil kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran termasuk mengadakan jelajah di beberapa daerah di Johor untuk menyebarkan maklumat mengenai program itu.
“Satu program jelajah dengan nama MARI, yang bermaksud Mesra, Aktiviti, Riadah dan Informatif, bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang i-Suri,” tambah Cai Tung yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya.
Jelajah MARI bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang fungsi pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita Negeri Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata, berbekalkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi fasa pertama, i-Suri mensasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).
Sistem eKasih merupakan sistem pengkalan data untuk keluarga yang berada di paras kemiskinan negara.
Selain itu, bagi surirumah yang mendaftar di laman portal i-Suri menerima sumbangan kerajaan berjumlah RM40 sebulan atau RM 480 setahun.
Individu yang layak mendaftar bagi i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, Pengeluaran Umur 50, 55 dan 60, Bantuan Hilang Upaya, dan Bantuan Kematian.
Sumbangan minimum sebanyak RM5 juga ditetapkan sebagai wajib kepada pencarum sebagai komitmen memupuk budaya menyimpan.








