Pengumuman portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor, hari ini menyaksikan tujuh jawatan distruktur semula manakala tiga kekal seperti sebelum ini.
Portfolio berkenaan diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Dr Sahruddin Jamal, dalam sidang media bersama barisan EXCO baharu selepas majlis pelantikan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.
Secara tradisinya, Menteri Besar memegang portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.
Tiga portfolio yang tidak berubah ialah Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti; Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur.
Tujuh portfolio diberi nama baharu selepas distruktur semula iaitu Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi; Perumahan, Komunikasi dan Multimedia.
Portfolio lain dengan nama baharu ialah Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan; Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Baki dua portfolio dengan nama baharu ialah Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar serta Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar.
Senarai EXCO Johor dan portfolio:
- Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi, Dato’ Dr Sahruddin Jamal.
- Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan.
- Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad.
- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung.
- Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse.
- Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
- Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr S Ramakrishnan.
- Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali.
- Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.
- Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon.
- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri.








