YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim akan membuat penampilan pertama pada Siri Blancpain GT World Challenge Asia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 6 April ini.
Majlis penuh bersejarah itu yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam tadi (9 Mac), diserikan lagi dengan keberangkatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Berangkat sama, DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan paduka-paduka anakanda.
Orang ramai yang mula berkumpul di Dataran Bandaraya Johor Bahru sejak petang tadi, turut tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyaksikan majlis pelancaran pasukan serta kereta lumba baharu Tunku Panglima Johor.

Tunku Abdul Rahman akan memandu jentera Mercedes-Benz AMG GT3 bersama rakan sepasukan yang juga merupakan pemandu negara, Jazeman Jaafar bagi pasukan Johor Motorsport Racing yang diuruskan kumpulan pakar sukan permotoran Australia, Triple Eight Race Engineering.
Siri perlumbaan Blancpain GT World Challenge Asia 2019 adalah perlumbaan bagi kereta berspesifikasi GT-3 dan GT-4.
Artikel dan kredit foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar








