DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menegaskan tindakan kerajaan yang ingin meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan menandatangani Statut Rom adalah satu tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Baginda Tuanku Sultan bertitah, ini kerana ia menyentuh kuasa Raja-Raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan Agama Islam di negara ini.
“Kerajaan haruslah ingat tentang kontrak sosial dalam sejarah pembentukan persekutuan Tanah Melayu dahulu, di mana keistimewaan orang Melayu dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak boleh disentuh atau dikurangkan.
“Oleh yang demikian, suka saya ingatkan kepada kerajaan supaya tidak terus mengikut apa juga konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan orang luar, tetapi akhirnya nanti ia akan memusnahkan kedaulatan negara dan mengugat kesejahteraan hidup rakyat sendiri,” titah DYMM Sultan Johor.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru hari ini (23 Mac).
DYMM Sultan Johor turut bertitah menyeru kepada seluruh rakyat negeri Johor supaya hidup bekerjasama, bertolak ansur, hormat menghormati di antara satu sama lain, dan sentiasa bermuafakat, kerana sesungguhnya “muafakat itu berkat”.
“Perkara-perkara yang sensitif berkaitan sesuatu kaum atau agama, janganlah dipersenda atau dihina, kerana ia akan menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat majmuk di negara kita,” titah Baginda.








