Pencemaran Sisa Kimia: 9 suspek berjaya ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan lelaki dipercayai terbabit dalam perbuatan pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek itu ditahan dalam operasi khas semalam.

“Dua suspek ditahan di Johor manakala tujuh lagi ditahan di luar negeri ini. Operasi memburu suspek lain masih diteruskan. Saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak maklumat kerana akan mengganggu siasatan dan operasi polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Mohamad Fuzi berkata, semua suspek terbabit kini direman enam hari sehingga Sabtu ini.

Katanya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 278, Seksyen 284 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan; berkelakuan cuai membabitkan bahan beracun dan menyebabkan cedera parah.

Semalam, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata, pihaknya sudah ada petunjuk bagi memberkas suspek utama terbabit dengan pencemaran Sungai Kim Kim di sini dan operasi memburu mereka giat dijalankan.

, , , ,