Sultan Johor terima mengadap Perdana Menteri

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Ia merupakan kunjungan rasmi pertama Dr Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri pada Mei tahun lalu.

Beliau tiba di perkarangan Istana Bukit Serene kira-kira jam 4.00 petang dan disambut oleh Tuanku Sultan Ibrahim serta DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani.

Tuanku Sultan Ibrahim meluangkan masa lebih satu jam bersama Dr Mahathir membincangkan pelbagai perkara sebelum diraikan dalam satu majlis santapan ringkas.

Selesai pertemuan itu, Baginda turut berkenan menghantar Dr Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menaiki sebuah Proton Saga edisi pertama yang dihadiahkan kepada Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1985.

, , , ,