Ambil tindakan tegas pada Kamarul Arifin

Majlis Belia Negeri Johor merasakan tindakan seorang Ahli Majlis, Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Arifin Bin Harris Fadzillah yang mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan mengejek DYAM Tunku Mahkota Johor semalam.

Meskipun, posting tersebut telah dipadamkan, namun sekalian Bangsa Johor merasa dukacita dan bertambah kecewa apabila ianya dikeluarkan oleh anak Johor sendiri.

Satu laporan Polis telah dibuat terhadap ahli majlis tersebut yang mahu individu tersebut disiasat. Disaat kita terpalit dengan isu perkauman adalah diharapkan sebagai Bangsa Johor dan rakyat Malaysia haruslah memupuk semangat perpaduan.

Ikuti Kenyataan Media oleh Majlis Belia Negeri Johor pada 5 Januari 2019:

MENDESAK KERAJAAN NEGERI MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP AHLI MAJLIS PBT YANG CELUPAR

1. Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mendesak Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan terhadap Mohammad Kamarul Ariffin bin Harris Fadzillah, Ahli Majlis, Majlis Daerah Pontian yang telah mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan mengejek Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibn Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) di dalam facebooknya semalam.

2. Walaupun Kamarul Ariffin telah memadamkan ‘posting’ berkenaan namun ia tetap satu perbuatan yang ‘kurang ajar’ dan bertambah biadap apabila Kamarul Ariffin mencabar pihak berkuasa untuk menangkapnya seperti tulisan di ruangan komen.

3. Kenyataan Kamarul Ariffin juga sekaligus mempertikaikan keputusan Pihak Berkuasa Negeri yang diputuskan di dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor berkenaan status Pulau Kukup.

4. Sebagai seorang Ahli Majlis PBT yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri, Kamarul Ariffin sepatutnya memahami fungsi dan peranannya seperti yang termaktub dalam seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1971. Pelakuan seumpama itu amat tidak wajar dilakukan oleh mana mana penjawat awam dalam erti kanun keseksaan Akta 574.

5. Oleh yang demikian, MBNJ berharap agar YAB Dato Osman bin Sapian, Menteri Besar Johor selaku ketua Kerajaan dan YB Dato Azmi bin Ruhani selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kamarul Ariffin yang telah melakukan pelakuan yang amat menjengkelkan.

6. Malah jika boleh, Kamarul Ariffin hendak di pecat atau di tarik balik perlantikannya sebagai Ahli Majlis PBT oleh Pihak Berkuasa Negeri sebagai satu pengajaran kepada mana mana pihak khususnya penjawat awam mengenai etika dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

MD SALEEHEEN BIN MOHAMAD
Presiden

, ,