DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membuat kejutan apabila berangkat ke Warung Saga di Taman Mahmoodiah, Johor Bahru hari ini (23 Disember), serta meluangkan masa bersarapan bersama rakyat.
Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Ibrahim pada jam 10.30 pagi, disambut para pelanggan yang sedang bersarapan, malah pemilik restoran, Encik Ahmad Ismail tidak menyangka bahawa pada pagi ini beliau akan menerima kehadiran tetamu istimewa yang cukup disayangi Bangsa Johor.
Baginda meluangkan masa selama hampir sejam dan menikmati sarapan mee rebus serta kuih-muih, selain turut beramah-mesra dan berkenan membelanja semua pelanggan di warung tersebut.
Bagi seorang pelanggan Warung Saga, Azizi Harun meluahkan perasaan terharu dan terkejut dengan kehadiran Tuanku Sultan Johor.
“Saya sempat bergambar dan bersalam dengan Tuanku Sultan untuk kali pertama, malah seakan tidak percaya dengan keberangkatan Baginda. Sultan Ibrahim sememangnya berjiwa rakyat,” katanya.
Warung Saga yang beroperasi sejak 1986 adalah antara tarikan popular di Johor Bahru dengan hiasan gambar-gambar antik termasuk potret Sultan Johor.








