DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sentiasa menitikberatkan keharmonian dalam kalangan Bangsa Johor yang menjadi tunjang perpaduan di negeri ini.
Pada hari ini (16 Disember), Tuanku Sultan Ibrahim berkenan berangkat memeriahkan Majlis Santapan Bersama Masyarakat India di daerah Segamat.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda di Dewan Serbaguna Segamat pada jam 12 tengah hari disambut meriah dengan iringan muzik serta persembahan tradisional masyarakat India.
Lebih 500 tetamu masyarakat berbilang bangsa dan agama turut hadir pada majlis anjuran Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor, Dr. S. Ramakrishnan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok.
Baginda meluangkan masa selama hampir sejam pada majlis itu, dan orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta bergambar bersama Tuanku Sultan Ibrahim.
Sebelum berangkat pulang, Baginda turut menandatangani plak kenangan serta bergambar bersama M. Kandapan dan keluarga yang sebelum ini melakukan pelbagai inisiatif menghiasi kereta miliknya dengan gambar-gambar Keluarga DiRaja Johor sejak lima tahun lalu.








