RM15 juta diperuntukkan untuk pelajar miskin

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM15 juta zakat untuk bantuan pendidikan kepada 50,000 pelajar dan 38,000 pelajar kurang mampu bagi membeli pakaian sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hasan, berkata bantuan pakaian sekolah dan dana pendidikan kepada pelajar miskin di negeri ini membuktikan MAINJ komited dalam membangunkan ummah.

Katanya, zakat yang diagihkan untuk sesi persekolahan 2019 itu merangkumi bantuan yuran sekolah, pendaftaran di institusi pengajian tempatan, derma siswa pelajar luar negara, bantuan pinjaman pendidikan luar negara dan tambang pengangkutan ke pusat pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hasan.

“Bantuan pendidikan termasuk bantuan yuran sekolah (RM1.2 juta), bantuan biasiswa pelajar luar negara (RM1.4 juta), bantuan pinjaman pendidikan luar negara (RM4.5 juta), bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi tempatan (RM2 juta) dan bantuan pakaian sekolah (RM3.7 juta).

“Bantuan pelajar kurang mampu di sekolah kebangsaan dan sekolah agama pula membabitkan RM2.2 juta,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Peringkat Negeri Johor dan Insentif Harapan Siswa MAINJ / Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Dewan Orang Ramai Tongkang Pechah, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd Noh Ibrahim.

Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, agihan zakat MAINJ sehingga bulan lalu adalah sebanyak RM229.8 juta, iaitu agihan tertinggi berbanding tahun lalu.

Katanya, MAINJ mengumpul sebanyak RM245 juta zakat sehingga bulan lalu.

, , , ,