Kerajaan Johor sokong pembinaan semula jambatan bengkok

Bercerita tentang jambatan bengkok, rata-rata ada yang memberi pandangan positif dan ada juga yang negatif. Termasuklah pemimpin-pemimpin kerajaan mahupun pembangkang. Bagi penduduk sekitar Johor Bahru, beberapa penerangan perlu diterjemahkan agar pelaksanaan kelak dapat memberi impak ekonomi yang lebih berkesan.

Kerajaan negeri secara dasarnya menyokong dan berusaha mewujudkan kembali cadangan pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada tahun 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang, berkata cadangan laluan ketiga oleh kerajaan negeri itu bertujuan menangani isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Laluan Kedua di Tanjung Kupang.

“Idea ini adalah untuk mewujudkan laluan alternatif untuk mengalihkan trafik ke kedua-dua bahagian negara dan membebaskan Causeway (Tambak Johor) dan Link Kedua untuk kenderaan ringan.

“Projek pembinaan jambatan bengkok ini masih dalam peringkat perancangan awal dan beberapa faktor perlu diambil kira bagi memastikan projek ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat Johor dan mengurangkan implikasi kos,” katanya.

PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang. – Foto MOHD AZREN JAMALUDIN

Beliau yang juga (PH BERSATU-Puteri Wangsa) berkata demikian ketika menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar. Ayub dalam soalannya minta penjelasan mengenai kisah bersambung Jambatan Bengkok Malaysia-Singapura yang dikatakan akan dilaksanakan.

Ayub juga ingin mengetahui mengenai reka bentuk jambatan itu dan anggaran kos serta bila akan dilaksanakan, selain mampukah ia menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas.

Mengulas isu itu, Mazlan berkata, bagi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), projek itu baru sahaja diumumkan dan akan dilaksanakan semula.

“Namun demikian perbincangan secara terperinci belum dibuat,” katanya.

Mazlan berkata, kerajaan negeri sedang menjalankan kajian awal bagi menjayakan cadangan Laluan Ketiga untuk menghubungkan Pengerang dengan Pulau Ubin Singapura.

, , , ,