Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai mekanisme tersendiri bagi memastikan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter dinikmati golongan B40 atau pengguna yang berpendapatan rendah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata subsidi minyak itu hanya diberi kepada mereka yang layak dan golongan sasar saja.
Katanya, tidak semua rakyat atau pemilik kenderaan yang layak menerima subsidi terbabit.
“Kita akan mengambil kira semua dan paling utama tengok garis pendapatan penerima iaitu B40, umur kenderaan menerusi data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kenderaan 1.5 cc ke bawah.
“Ini kerana 90 peratus pengguna menggunakan RON95 dan jika diberi subsidi 30 sen kepada semua ia membabitkan jumlah subsidi yang sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Food Aid Foundation Cawangan Kelantan Love Kitchen di Berek 12, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengasas Food Aid Foundation Rick Chee, Pengarah Operasinya, Hayati Ismail dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP Negeri, Firdus Zakaria.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat, yang mengumumkan pemilik kereta dengan enjin 1,500 cc dan motosikal dengan enjin 125cc akan menikmati subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter.
Subsidi untuk pemilik kereta terhad kepada 100 liter manakala subsidi untuk pemilik motosikal terhad kepada 40 liter. Ia membabitkan peruntukkan RM2 bilion dan dijangka memberi manfaat kepada empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.
Saifuddin berkata, kerajaan akan melaksanakan satu sistem khusus bagi memudahkan transaksi pembelian petrol yang membabitkan golongan sasar.








