Projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ), yang merupakan ilham DYMM Sultan Johor mencatat sejarah apabila Baginda pada hari ini (21 November), berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Tawaran RIBJ Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat menyempurnakan majlis itu di tapak projek RIBJ Bandar Dato’ Onn, yang kini sedang giat dengan pembinaan empat jenis rumah berjumlah 488 unit sejak Julai lalu dan dijangka siap pada tahun 2020.

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Adalah menjadi hasrat Baginda menerusi YSIJ, memastikan setiap lapisan Bangsa Johor memiliki rumah impian sendiri di kawasan sempurna serta selesa, di samping pada harga mampu dimiliki.
Projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp), yang turut menyambut baik inisiatif YSIJ menerusi kerjasama erat kerajaan Negeri.
JCorp menerusi syarikat kumpulannya, Johor Land Berhad diamanahkan untuk membina RIBJ di dua kawasan iaitu Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee.

Di Bandar Dato’ Onn, Projek RIBJ menyaksikan pembinaan rumah dua tingkat Jenis A sebanyak 29 unit, rumah berkembar dua tingkat jenis B (156 unit), rumah kluster dua tingkat jenis C (100 unit) dan rumah teres dua tingkat jenis D (203 unit) di atas tapak seluas 52.70 ekar.

Sementara itu, bagi Projek RIBJ di Bandar Baru Majidee pula membabitkan pembinaan 320 unit pangsapuri tiga bilik dan ia dijangka siap pada akhir tahun 2019, di atas tanah seluas 6.8 ekar dan kini status pembinaan telah mencapai 81 peratus.
Lebih menarik lagi, kesemua jenis rumah ini turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan ‘cook top’.

Pada majlis hari ini, seramai 32 orang menerima Sijil Tawaran RIBJ daripada Tuanku Sultan Ibrahim.
Kredit foto dan sumber: Royal Press Office








