JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor, menubuhkan sebuah Majlis Setiausaha berperanan sebagai sekretariat melicinkan gerak kerja semua parti komponennya.
Penubuhan Majlis Setiausaha itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Datuk Osman Sapian; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Abdul Karim dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, hari ini.
“Majlis Setiausaha ini akan diwakili oleh beberapa pimpinan dari setiap parti komponen dan berfungsi sebagai sekretariat bagi melicinkan gerak kerja dan memperkemaskan struktur pentadbiran PH di negeri ini.
“PH Johor turut mengambil beberapa ketetapan atas semangat mereformasi sistem pentadbiran dan politik negeri ini antaranya serius untuk menjadikan parti komponen sebagai parti yang berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia merentasi kaum, bangsa, bahasa, agama mahupun budaya,” katanya.
Kenyataan itu turut mengucapkan tahniah kepada Osman atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi BERSATU Johor yang mampu mengukuhkan hubungan PH negeri seterusnya melicinkan agenda pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan.
“PH Johor menginsafi bahawa kemenangan dalam pilihan raya yang lalu menzahirkan muafakat rakyat untuk menyelamat, seterusnya membina Malaysia baharu atas semangat ‘amar maaruf nahi mungkar’ iaitu menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Dalam hal perlantikan Ahli Majlis di negeri ini, PH Johor mengulang penegasan bahawa setiap parti hendaklah seboleh mungkin mengemukakan calon pelbagai bangsa.
“PH Johor tidak mahu menjadi Barisan Nasional (BN) 2.0 yang menjadikan tugas menjaga rakyat mengikut bangsa dieksklusifkan kepada parti tertentu sahaja, sebaliknya PH Johor melihat bahawa tugas membela rakyat adalah tanggungjawab bersama,” katanya.








