Lapangan Terbang Antarabangsa Mersing akan dibina

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan membina lapangan terbang antarabangsa Mersing dalam tempoh terdekat bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata pada masa ini dua lokasi sudah dikenal pasti dan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian terperinci kesesuaian tanah.

“Kos dan pelan masih dalam perbincangan, namun apa yang penting kenal pasti kawasan sama ada ia sesuai atau tidak.

“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, kami ada membincangkan pembangunan Mersing dan Segamat dimasukkan ke dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Pada masa sama, kerajaan pusat bersetuju memberi peruntukan menerusi ECER untuk membina lapangan terbang itu.

“Kami bercadang membina lapangan terbang antarabangsa yang boleh menerima penerbangan terus dari Batam, Indonesia, selain Phuket, Thailand atau Singapura namun hanya membabitkan penerbangan tambang rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Perasmian Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor sesi 2018/2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA Johor) di sini, hari ini.

Osman berkata, pembinaan lapangan terbang itu dimasukkan ke dalam Pelan Pembangunan Mersing dan menunggu keputusan kajian serta peruntukan Kerajaan Pusat.

Image result for international airport design

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan mengalihkan pejabat kerajaan di Mersing ke kawasan baru yang terletak tidak jauh dari kawasan bandar.

Katanya, selain itu kerajaan akan membina jambatan, mendalamkan sungai serta membina pemecah ombak.

“Bagi daerah Segamat pula, Perdana Menteri mahu lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dibangunkan dan menjadi pusat ternakan lembu serta kambing di Johor.

“Semua pembangunan ini bertujuan merancakkan ekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda supaya mereka tidak perlu berhijrah,” katanya.

, , ,