SPRM tahan ‘Datuk’ babit kes rasuah jalan kampung

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu.

Difahamkan, salah seorang daripadanya merupakan seorang pengarah urusan berpangkat Datuk, manakala selebihnya adalah pegawai eksekutif daripada syarikat swasta yang sama.

Kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 60an terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.

Menurut kenyataan SPRM negeri, siasatan dijalankan mendapati kesemua suspek dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan jalan kampung di sekitar Johor daripada tahun 2014 sehingga sekarang.

Bagaimanapun, sehingga sekarang, kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan yang mana jumlah kos penyelenggaraan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta hingga RM70 juta setahun.

Katanya, anggaran keseluruhan wang tunai yang disita adalah melebihi RM800,000 selain  tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan terhadap individu lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut selain  memaklumkan tiga suspek telah direman semalam (09/10/2018) manakala tiga lagi suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini (10.10.2018).

, , ,