Pastikan hanya betul-betul layak dapat, ini amanah.

MERSING: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan komitmennya untuk memantau semua projek Rumah Impian Bangsa Johor yang dilaksanakan di bawah Yayasan Sultan Ibrahim.

Kesungguhan Tunku Ismail disuarakan sebaik selesai menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Impian Bangsa Johor Mersing di Kampung Sri Pantai di sini, hari ini.

“Saya akan sentiasa memantau (Projek Rumah Impian Bangsa Johor) di sini (Mersing) dan Bandar Dato’ Onn,” pesan Tunku Ismail kepada pihak terbabit dalam projek dicetuskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Kampung Sri Pantai.

Tunku Ismail berharap tidak ada usaha melobi dalam sebarang pemilihan untuk membina rumah berkenaan.

“Tidak ada lobi-lobi dalam pemilihan (berkaitan projek). Itu paling penting.

“(Pastikan) yang dapat (unit kediaman) itu betul-betul layak dapat dan ini amanah,” titah baginda.

Tunku Ismail turut berkongsi harapan ayahandanya supaya projek itu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Visi, tanpa pelaksanaan, hanyalah halusinasi. Pastikan projek ini di sini, berjaya dan kegagalan bukan satu pilihan,” titah baginda sebelum meluangkan masa kira-kira 20 minit dalam program itu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jemaluang, Mohd Ezwan Jamigoe, 33, berkata pelaksanaan Projek Rumah Impian Bangsa Johor itu dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, rakyat di Mersing berterima kasih di atas keprihatinan Sultan Johor mengurniakan tanah bagi melaksanakan kediaman bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Hanya terima kasih mampu kami katakan di atas keprihatinan Tuanku Sultan Johor terhadap penduduk Mersing dalam menyediakan perumahan seperti ini,” katanya.

Penduduk Pulai Tinggi, Rossana Hussin, 50, menyifatkan ia sebagai projek pertama dibangunkan di daerah ini dilengkapi pelbagai kemudahan dan bersepadu. – BH

, , , ,