Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun mendahului senarai 419 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, semalam.
Majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Seri Negeri di sini diadakan dalam dua sesi iaitu pada hari ini membabitkan 161 penerima, manakala 258 penerima lagi pada 10 November depan.
Rina antara 14 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri. Turut menerima darjah sama Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Mohd Khalil turut menyampaikan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira kepada sembilan penerima, antaranya Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Omar Jaafar; Timbalan Menteri di JPM, Dr Md Farid Md Rafik; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Hatta Md Ramli; dan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.
Selain itu, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk diberi kepada 18 penerima antaranya EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd Rafiq Naizamohideen; EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew; EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis serta EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd Sofi Abdul Wahab.
Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk turut disampaikan kepada 44 penerima antaranya Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim dan bekas atlet olahragawan kebangsaan, Datuk M Ramachandran.
Sementara itu, seramai 18 orang menerima Darjah Seri Melaka (DSM), 35 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 72 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 100 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 87 Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada sesi penganugerahan itu.








