UMNO hadkan jawatan presiden 2 penggal

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengehadkan jawatan presiden parti itu hanya untuk dua penggal saja.

Cadangan itu dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, malam ini.

“Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada dua penggal saja.

“Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita,” katanya.

Cadangan itu antara yang terkandung dalam tujuh teras merangkumi 21 langkah yang akan dilaksana UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali bangkit selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei lalu.

Langkah lain, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas.

“Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan.

“Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu,” katanya.

Sebagai presiden, beliau mahu menjadikan UMNO parti sifar rasuah, katanya. Foto: Malaysiakini
Sebagai presiden, beliau mahu menjadikan UMNO parti sifar rasuah, katanya. Foto: Lim Huey Teng, Malaysiakini

“Politik wang boleh menghancurkan parti. Politik wang juga akan menyebabkan ahli salah memilih pemimpin. politik wang juga meracuni kita menjadi individu yang gemarkan rasuah dan habuan (ghanimah),” katanya.

Beliau berkata, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu semua pemimpin tertinggi parti supaya turun ke akar umbi, bertemu seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti.

“Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan – kos rendah tetapi memberi pulangan tinggi,” katanya.

, , ,