JOHOR BAHRU: DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan surat rasmi MBIP sebaliknya menggunakan Dwibahasa iaitu Bahasa Cina dan Inggeris.
Baginda bertitah apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam Bahasa Melayu.
“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini (25 September). Kenyataan itu dikeluarkan di laman sosial rasmi Baginda.
Baginda bertitah demikian bagi mengulas tindakan seorang Ahli Majlis MBIP menggunakan Bahasa Cina dalam surat rasmi urusan PBT bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog dan ia turut viral dalam laman media sosial.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahu pun PBT yang digunapakai sejak dahulu di Johor.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai maksud bahasa rasmi juga terkandung dalam Undang-undang Malaysia di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) iaitu menerangkan Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya…, jangan pisang berbuah dua kali,” titah Baginda.








