PERKESO Johor bayar faedah RM60.05 juta

PASIR GUDANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor membayar RM60.05 juta faedah kepada pencarum yang layak bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Pengarahnya, Tong Sing Chuang, berkata bayaran itu membabitkan 19,563 kes bagi faedah pembayaran termasuk pencen penakat, pencen ilat, hilang upaya, selain pencen faedah orang tanggungan dan pengurusan mayat.

Daripada jumlah itu, katanya, RM35.76 juta pembayaran faedah dilakukan di Johor Bahru, selain Muar (RM6.87 juta), Batu Pahat (RM8.27 juta), Kluang (RM6.37 juta) dan Segamat (RM2.77 juta).

“Mengikut pecahan kes pula, sebanyak 11,168 kes yang mendapat faedah pembayaran di Johor Bahru, manakala Muar (2,437 kes), Batu Pahat (2,516 kes), Kluang (2,197 kes) dan Segamat (1,245 kes).

“Ramai yang tidak tahu manfaat yang boleh diterima sekiranya mencarum dengan PERKESO. Apabila kemalangan berlaku, malah kematian disebabkan keuzuran, terdapat keperluan untuk PERKESO mengambil tindakan segera, sekali gus memudahkan waris yang menerimanya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Mazlan Bujang (tengah) bersama ahli PERKOBF selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Johor Kali Ke-6/2018 di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. – Foto Nurul Amanina Suhaini

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan PERKESO kepada waris Penolong Pengurus Pasukan Sepak Takraw Johor, Allahyarham Ahmad Huzaimy Mohamad, yang disempurnakan oleh Presiden Sepak Takraw Johor, Datuk Halim Suleiman, di Jalan Rimba 55, Bandar Seri Alam, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sing Chuang berkata, sebanyak 84 kes yang diterima pihaknya menerusi Skuad PERKESO Prihatin, sejak Januari hingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 27 kes layak menerima faedah pembayaran, manakala 57 kes pula dikategorikan kes tidak berkaitan selepas semakan semula.

“Skuad PERKESO Prihatin berfungsi membantu memudahkan penerima mendapat bantuan sewajarnya dan kebanyakan maklumat yang kami terima adalah menerusi aplikasi WhatsApp, surat khabar mahupun laman sosial Facebook,” katanya.

, ,