PONTIAN – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melahirkan penghargaan di atas sumbangan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut yang sentiasa berusaha melahirkan modal insan berjaya sekali gus mengubah sosio ekonomi anak-anak kelahiran Pontian.
Amirudin yang juga bekas pelajar SMK Benut, cukup terharu dengan sambutan diberikan sewaktu Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang SMK Benut, baru-baru ini.
Beliau berkata, SMK Benut juga melahirkan ramai golongan terpelajar yang kini memegang pelbagai jawatan di sektor awam dan swasta mahupun terlibat dalam perniagaan dan sebagainya.
“Saya adalah di antara produk SMK Benut, walaupun hanya sekolah menengah harian biasa tetapi mampu beri pendidikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya.
“Semasa di sekolah dahulu, saya merupakan pelajar aktif dengan pelbagai kegiatan seperti pengawas sekolah, debat, pidato, membaca puisi dan lain-lain kokurikulum,” katanya.
Beliau merupakan bekas pelajar SMK Benut dari 1993 hingga 1997, sebelum menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Dalam Sains Sosial.
Sempena dengan program tersebut, Amiruddin memberikan sumbangan peribadi RM10,000 kepada SMK Benut yang diterima Zulfidy selain melancarkan Tabung Kebajikan SMK Benut.








