Ahli Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara, Mazlan Aliman bakal dilantik sebagai pengerusi agensi terpenting dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), pernah disebut-sebut sebelum ini bakal mengisi jawatan dalam Felda namun ianya hanya sekadar khabar angin.
Pengumuman itu dibuat oleh Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub ketika Majlis Bicara Menteri di Temerloh. Beliau berkata pelantikan Mazlan yang bakal diumumkan selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah sebagai penghargaan kepadanya dalam memperjuangkan nasib peneroka FELDA sejak sekian lama.
Katanya, cadangan melantik Mazlan ke jawatan itu tidak bercanggah dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan untuk melantik ahli politik ke sesebuah jawatan kerana ia hanya terhad untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Antara agensi dalam kementerian itu ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

[ Berita lanjut : Mazlan Aliman bakal dilantik sebagai pengerusi agensi terpenting dalam MOA ]








