Johor mengekalkan had umur perkahwinan sepertimana perundangan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sehingga kini mengekalkan had umur perkahwinan seperti yang termaktub dalam perundangan iaitu 18 tahun bagi lelaki, manakala 16 tahun untuk perempuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama negeri, Aminolhuda Hassan, berkata kerajaan negeri belum membuat semakan terhadap had umur perkahwinan berkenaan dan tiada sebarang perubahan dibuat.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri dalam tempoh terdekat akan mengadakan perbincangan menerusi mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor berhubung perkara itu.

“Menerusi perbincangan itu, kita akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang kita anggap sesuai dan mempunyai keperluan untuk menyuarakan pendapat terutama dalam menentukan hukum seperti ini.

“Kerajaan negeri sedar kepentingan mengenai soal gejala sosial yang berlaku dan pandangan daripada Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kesihatan juga perlu dalam mesyuarat itu nanti,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Aminolhuda berkata, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tarikh dan perkembangan berhubung mesyuarat yang akan diadakan dalam tempoh terdekat itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mencadangkan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

 

,