JOHOR BAHRU: Para peminat sukan elektronik (e-sport) dijemput menyertai dan memeriahkan Johor e-Sport Fifa19 Challenge siri pertama di pusat beli-belah Galleria@Kotaraya, Sabtu ini.
Kejohanan yang diadakan sebanyak empat siri itu menawarkan hadiah keseluruhan RM7,000.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada semua peminat sukan berkenaan.
“Seramai 256 pemain akan dipilih berdasarkan ranking mereka. Setakat ini, 280 orang sudah mendaftar dan hanya dikenakan yuran sebanyak RM20.
“Kita berharap pertandingan ini akan dapat mempromosikan lagi e-sport dalam kalangan rakyat dan Johor mampu menjadi hab e-sport di selatan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Sports Johor dan Consolwar, di sini sebentar tadi.

Sports Johor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, On Jabbar@Ja’afar, manakala Consolewar oleh Pengarah Urusannya, Nazirul Afiq Mohd. Amin.
Selain peserta tempatan, kejohanan yang dijangka dapat menarik lebih 5,000 orang itu turut disertai pemain dari Singapura dan Brunei. – UTUSAN








