Hentikanlah budaya terlalu sanjung pemimpin

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu dihormati tetapi jangan terlalu disanjung berlebih-lebihan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata roh sebenar UMNO bersikap tidak terlalu membezakan pengikut dengan pemimpin seperti saling perlunya aur dan tebing atau isi dengan kuku.

Katanya, jurang seorang pemimpin dengan rakyatnya tidak boleh terlalu jauh.

“Jika ditinggikan sekalipun, memadai sekadar yang patut sahaja.

“Andai pemimpin perlu dilebihkan, biarlah berpada-pada. Dan, jika wajar dimuliakan, usahlah berlebih-lebihan pula,” katanya berucap pada persidangan pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC ), hari ini.

Noraini yang pertama kali berucap sebagai Ketua Wanita UMNO berkata, sudah tiba masanya, UMNO mengkaji setiap aspek yang membabitkan parti sama ada dari segi budaya, cara kerja, nilai, juga sasaran atau orientasi baharu.

Katanya, UMNO harus melihat secara jujur, seluruh aspek operasi, juga cara berkomunikasi dengan rakyat terbanyak.

“Saya mencadang dilakukan ‘overhaul’ secara total. Sudah sampai masanya UMNO melalui perubahan drastik dan menolak budaya negatif yang mencalarkan imej kita selama ini, termasuklah dominasi ‘warlords’ tuan tanah dalam parti.

“Dunia sudah berubah sejak lahirnya UMNO. Masyarakat dunia melalui transformasi yang luar biasa. Teknologi mengubah kehidupan manusia. Kini kita berada dalam era pasca ledakan teknologi internet,” katanya.

UMNO, katanya harus mengakui bahawa teknologi maklumat adalah pedang bermata dua.

“Ia boleh membawa manfaat yang besar kepada manusia dan kemanusiaan, hidup dan kehidupan. Di sebalik itu, ia juga boleh membinasakan. Parti kita sendiri menjadi mangsa musibah ini. Kita difitnah, diperkecilkan, dituduh dan diperlekehkan oleh kekuatan pengguna media sosial di sebelah sana (pembangkang).

“Hakikatnya, kita sendiri tidak berupaya menangani apatah lagi menguruskan cabaran baharu itu,” katanya.

Noraini berkata, UMNO tewas di gelanggang siber dan kalah dalam medan perang persepsi umum.

“Maka itu, kita harus berfikir di luar kotak. Kita harus melihat secara tuntas pendekatan kita dalam semua hal. Antara elemen yang harus kita perbaiki adalah aspek keahlian parti kita.

“Tabiat kita yang selama ini beranggapan bahawa UMNO tidak akan rebah kerana bilangan ahli yang ramai, ternyata khilaf!,” katanya. -BH

, ,