Exco mahu semua keperluan hospital, klinik cukup lengkap

Kerajaan Johor akan memastikan setiap kemudahan dan keperluan sama ada di hospital mahupun klinik kesihatan di negeri ini berada pada tahap terbaik.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kecukupan fasiliti itu penting dalam memenuhi kehendak rakyat yang menerima rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Menurutnya, pihaknya akan mengkaji semula keperluan yang wajar diberi perhatian dan aspek kemudahan itu akan ditambah baik mengikut kepentingan dan keadaan semasa.

“Buat masa ini, saya masih berpuas hati dengan keperluan yang dibekalkan hospital dan klinik kerajaan di negeri ini. Namun pada masa sama, kita akan terus berusaha menambah baik fasiliti yang mungkin belum lengkap.

“Untuk pengetahuan, di Johor kita mempunyai sebanyak 12 buah hospital kerajaan, 10 pejabat kesihatan daerah, 10 pejabat pergigian daerah, 98 klinik kesihatan termasuk tiga klinik ibu dan anak,” katanya dalam sesi Sinar Live, semalam.

Pastikan keperluan hospital cukup: ExcoDr. Sahrudin ketika ditemubual wartawan SH semalam.

Dr Sahruddin, kemudahan itu turut merangkumi 261 klinik desa, 36 klinik rakyat, 24 klinik pergigian pakar, 118 klinik pergigian dan empat klinik pergigian bergerak di seluruh negeri.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti semula keperluan berkaitan seperti kemudahan imbasan X-Ray, fisioterapi, perkhidmatan hospital dan klinik serta pelbagai lagi fasiliti lain.

Beliau dalam pada itu mengakui, kesesakan hospital sememangnya berlaku dan isu itu tetap wujud meskipun di mana-mana tempat.

“Saya rasa kebanyakan hospital pun memang akan alami kesesakan, namun isu ini dilihat masih lagi terkawal. Bagaimanapun, perkara ini tetap kita usaha untuk tambah baik.

“Malah, kerajaan negeri juga kini telah bersetuju membina sebuah hospital di Pasir Gudang melalui Kementerian Kesihatan yang mana secara tak langsung ia sedikit sebanyak berupaya menyelesaikan isu kesesakan pesakit khususnya Johor Bahru dan kawasan sekitar,” katanya. – SH

 

,