Sultan Johor terima kunjungan hormat Menteri Pertahanan

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan, Haji Mohamad Bin Sabu di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Facebook Sultan Ibrahim, pertemuan Haji Mohamad bersama Tuanku Sultan Ibrahim berlangsung selama hampir sejam bermula jam 10 pagi, sebelum tetamu kehormat itu diraikan dalam satu majlis santapan ringan.

Sempena kunjungan hormat itu, Haji Mohamad turut menyampaikan cenderahati kepada Baginda sebagai tanda kenangan. Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenan bergambar bersama Haji Mohamad sebelum berangkat pulang.

Ini merupakan kunjungan hormat pertama buat Haji Mohamad sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan. Haji Mohamad yang juga Presiden Amanah dilantik sebagai Menteri Pertahanan di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan selepas menang di kerusi parlimen Kota Raya di dalam Pilihanraya Umum PRU14 yang lalu.

Pakatan Harapan telah memegang kerusi parlimen dengan majoriti mudah sekaligus membentuk kerajaan baharu.

 

, , , ,