Sultan Johor berkenan mengadakan pertemuan dengan Presiden Mongolia

DYMM Sultan Johor berjabat tangan dengan Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga. Foto: Official Sultan Ibrahim.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga sempena lawatan pertama baginda ke negara itu.

Menurut kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, pertemuan Sultan Ibrahim bersama Battulga berlangsung di rumah tradisional Mongolia di dalam State House, Ulaanbaatar.

Turut berkenan mengiringi ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama delegasi Kerajaan Johor.

Sultan Ibrahim kemudian berangkat ke sesi taklimat yang disampaikan pegawai kerajaan Mongolia mengenai potensi peluang pelaburan serta perniagaan di negara itu terutamanya dalam bidang pembangunan hartanah.

Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat kilang kain Cashmere Gobi dimiliki kerajaan Mongolia di Ulaanbaatar yang turut terkenal dalam kalangan pelancong kerana kualiti pakaiannya.

Mongolia adalah antara pengeluar terbesar cashmere di dunia dan ia merupakan bahan eksport terbesar negara itu selepas galian.

Baginda bersama delegasi dijadualkan akan berkunjung ke ‘Tsonjin Boldog’, di mana terletaknya patung Genghis Khan, Raja Mongol yang pertama esok.

, ,