Johor tidak akan mengalami kerugian jika manifesto dilaksanakan


Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata beliau mengambil maklum tentang kekhuatiran sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri akan mengalami kerugian sekiranya manifesto Pakatan Harapan dilaksanakan.

“Ingin saya tegaskan di sini, dengan pelan yang telah saya nyatakan sebentar tadi, ia diyakini mampu untuk mengukuh dan menambah hasil kerajaan negeri,” beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini, Osman juga dilapor meminta anggota DUN tidak khuatir dengan kedudukan kewangan negeri.

Katanya, HARAPAN Johor mempunyai perancangan menyeluruh untuk kebaikan semua pihak, terutamanya rakyat yang memberi mandat.

Beliau turut dilaporkan berkata prestasi kewangan Johor berada dalam kedudukan baik dengan mencatatkan lebihan berjumlah RM68.21 juta berakhir pada 30 Jun lepas.

Katanya, jumlah hasil sebanyak RM707.45 juta manakala jumlah perbelanjaan RM639.24 juta. Jumlah simpanan rizab kerajaan yang berakhir pada 30 Jun lepas pula berjumlah RM2.585 bilion.

– MKini

,