SOSMA akan dimansuhkan – PM

SHAH ALAM: Kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memberi keadilan kepada rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan yang dilakukan ditentukan pihak mahkamah.

Beliau berkata, ada undang-undang di negara ini yang didapati menekan dan bersifat zalim kepada rakyat diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“SOSMA (contohnya) membolehkan kerajaan tangkap sesiapa saja tanpa dibawa ke mahkamah.

“Pakatan Harapan akan ikut undang-undang. Ada undang-undang negara ini kita kuat kuasakan supaya rakyat tak ditindas dengan kerajaan yang tak peduli dengan undang-undang negara.

“Tak macam Najib. Jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Kempen Tabung Harapan Malaysia, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. – BH