Selenggara jalan persekutuan perlukan kos RM2bilion setahun

KUALA LUMPUR: Penambahan peruntukan tahunan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara kepada RM2 bilion antara fokus utama Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang memulakan tugasnya hari ini.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata sejak tiga tahun lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) hanya menerima antara RM600 hingga RM800 juta bagi membaik pulih jalan persekutuan dan jumlah itu tidak mencukupi.

Beliau berkata, peruntukan RM2 bilion akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk dimasukkan dalam Bajet 2019.

“Saya dimaklumkan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun diperlukan untuk menyelenggara jalan persekutuan tetapi KKR hanya diberi peruntukan antara RM600 hingga RM800 juta setahun dan jumlah ini tidak sampai pun 50 peratus daripada bajet yang diperlukan.

“Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai bajet sebenar penyelenggaraan jalan. Ini kerana kitaran hayat penurapan semula adalah setiap enam dan tujuh tahun

“Ketika ini 30 peratus jalan persekutuan berada dalam keadaan teruk sedangkan jalan ini menjadi rangkaian kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” katanya pada sidang media di Kompleks Kerja Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Anuar Tahir yang juga baru memasuki pejabatnya pagi ini.

Baru antara 13 menteri yang mengangkat sumpah semalam untuk menyertai 13 menteri lain yang sudah memulakan tugas bulan lalu.

Terdahulu Baru dan Anuar diberikan taklimat oleh Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Zohari Akob. Majlis serah terima tugas daripada bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut berlangsung selepas sidang media.

YB. Tuan Baru Bian ketika di sidang Media selepas memulakan tugas pertama di Pejabat Kementerian Kerja Raya. Foto: Unit Komunikasi Korporat, KKR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *