KUALA LUMPUR: Menyambut hari kelahiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-93 tahun pada 10 Julai ini, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan Folder Set edisi terhad beliau.
Pelancaran folder set setem kenangan itu dilakukan hari ini di ibu pejabat Pos Malaysia, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak berkata, Pos Malaysia memberi penghormatan kepada ikon prolifik negara itu dengan menghasilkan folder set istimewa itu.
“Tun Dr Mahathir mendedikasikan seluruh hidupnya demi memperkasakan Malaysia dan ini adalah cara kami untuk menyatakan terima kasih di atas segala usaha serta pengorbanan beliau kepada negara,” katanya.
Menurut Ishsal, penjualan folder set itu selain dijadikan koleksi kenangan juga bertujuan mengumpul dana Tabung Harapan Malaysia di mana setiap RM5 daripada hasil jualan folder set itu akan disalurkan ke tabung berkenaan.

Jelasnya lagi, folder set itu mengandungi tiga reka bentuk Setem Ku yang memaparkan saat ceria keakraban Perdana Menteri dengan isteri, Tun Dr Siti Hasmah dan detik bersejarah ketika upacara angkat sumpah beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Setem Ku yang memaparkan tiga reka bentuk setem yang berbeza itu mempunyai nilai muka berjumlah 60 sen setiap satu.
“Kami hanya mengeluarkan 100,000 keping untuk setiap reka bentuk Setem Ku itu (300,000 secara keseluruhan).
“Setiap set lengkap itu dijual pada harga RM93 dan boleh didapati di semua Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih di seluruh negara dan pembelian secara dalam talian di eziEMall.com,” katanya.
Folder set itu mula dijual pada tarikh sama hari kelahiran Dr Mahathir iaitu 10 Julai ini.
KAKITANGAN POS Malaysia Nurul Nadiana Mohd Tahir memegang set Setem Ku Khas Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikeluarkan POS Malaysia sempena Ulang Tahun Tun yang Ke-93 di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur. – Foto BERNAMA







